Friday, August 20, 2010

SatuSaujana seiras BuluhMas

Seorang pelawat mencadangkan kami meninjau satu program dinamakan Satu Saujana.

Selepas ditinjau, begini info yang kami dapat:-

Bayar RM18 sekali sahaja, dan dapat 1 sticker

Sticker ditampal pada kereta

Setiap bulan syarikat bayar RM1

Untuk referral pula, syarikat bayar RM1 sebulan sebanyak 4 level

Ok...

Maka beginilah pendapat kami:

Katakan harga sticker ialah RM6, maka syarikat mengutip sebanyak RM12 deposit dari seorang peserta.

Ini bermakna, selama setahun (RM1 x 12), syarikat sebenarnya tidak membayar apa-apa kepada peserta. RM1 yang dibayar itu sebenarnya duit peserta itu sendiri.

Kecuali, jika peserta itu berjaya cari seorang referral, maka syarikat terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk bayar upah beliau. Di sini syarikat terpaksa menggunakan kos sendiri(sebenarnya kos ini masih boleh ditampung dari bayaran peserta yang tidak aktif).

Jadi kami melihat perkara ini sebenarnya hanyalah satu gimik perniagaan, di mana syarikat mengambil peluang mengembangkan brand nya secara percuma selama 1 tahun dari seorang peserta. Cara ini dapat menjimatkan kos operasi mereka dan mempopularkan brand dalam kadar segera.

Dari segi scam atau tidak, kami tidak rasa syarikat berniat untuk scam, cuma syarikat memang mengambil kesempatan promosi percuma dari orang ramai.

Apa pun, sejarah telah membuktikan bahawa Buluhmas iaitu saudara kembar program Satu Saujana ini telah tersungkur, jadi kemungkinan yang ini pun akan turut sama tersungkur, sekurang-kurangnya atas alasan illegal deposit taking. RM12 pun duit juga.

--------

To Availan:

Nasib baik ada orang seperti kamu yang boleh mengajar tentang MLM & AJL. Kalau boleh kamu ajarkan sekali kepada penyangak yang menyedut duit dari orang bawah dengan bertopengkan MLM. Buat payplan yang tak masuk akal dan promote di hotel-hotel. Mungkin orang-orang ini tak cukup belajar ilmu MLM & AJL, atau dah terlebih belajar?

Thursday, August 12, 2010

DuitOrangMalas - kalau malas tak perlu jual ebook

Sambil meronda dalam internet, kami terjumpa satu iklan best ni. Nampaknya orang malas pun dah jadi kaya sekarang (kaya menipu agak nya).

Kami pernah tulis tentang penjual ebook sedikit masa dulu. Ada juga cerita Pak Pandir yang buat surat berantai dan evolution menyebebabkan method itu ditukar kepada ebook.

Sebenarnya tak susah untuk mengesan pembohongan peluang perniagaan di internet, tips nya begini:

1. Berhati-hati dengan laman web yang tidak memberikan maklumat sebenar penjual, kerana biasanya seorang penipu tidak mahu dirinya dikenali

2. Berhati-hati dengan orang yang menunjukkan gambar akaun bank atau paypal, kerana jikalah wang terlalu mudah untuk dibuat, mengapa perlu bersusah-payah buat website dan iklankan untuk cari pembeli

3. Berhati-hati dengan ucapan berdegar-degar bahawa teknik dia adalah paling bagus, tapi sedikit pun tak nak cerita teknik apa. Orang seperti ini sebenarnya mahu perangkap anda untuk beli ebook

4. Jangan terpedaya janji dengan wang dikembalikan, apabila bukan dalam pegangan anda, maka wang itu bukan lagi hak anda

5. Berhati-hati dengan nama domain yang bunyinya negatif, kerana ini adalah teknik reverse psiko yang cuba dimainkan (richjerk, duit10minit, itukan menipu semuanya..)

Jangan mudah percaya, jangan mudah melepaskan wang anda kepada para penyangak.
Jika ianya terlalu mudah untuk dibuat, nescaya tidak ada seorangpun dalam dunia ini yang memilih untuk jadi miskin. Bekerja lah dengan tulang empat kerat kamu, kerana itu lebih berkat.

"Belia Benci Scam"

Monday, July 26, 2010

HyproBulkSMS: apa pandangan ramai?

Kami memohon agar Datuk Tan Lian Hoe melalui kementeriannya membuat siasatan ke atas syarikat ini. Sekiranya benar perniagaan "bulk sms" seperti yang diwarkan itu benar-benar boleh membawa kekayaan untuk kita semua, maka kita semua mungkin tak perlu kerja selepas ini. Pakat-pakatlah kita kerjakan peluang SMS ini dan jadi jutawan. Tetapi jika peluang ini hanyalah "gimik" skim cepat kaya, maka penganjurannya haruslah dihentikan.

Sebelum ada yang marah, ingin kami nyatakan bahawa ini bukan tuduhan. Kami harap HyproBulkSMS benar-benar genuine dan bukan skim cepat kaya. Tetapi jika tidak ada siasatan, tak siapa pun akan tahu.

Contoh package yang ditawarkan berdasarkan info di laman web mereka,

Xtreme 1000 - modal RM1000
a) HRI - hyper referral income balik modal sebaik saja menaja 2 orang, RM500 setiap seorang
b) Powerline - 100% untuk setiap referral selepas itu iaitu RM1000 setiap seorang
c) 50% untuk kaki A & B setiap referral C ke infiniti

serta beberapa income lain yang tak berapa penting. Kami akan kupas a,b,c sahaja.

Bacaan kami seperti ini..

1) Sebanyak 10% dari deposit akan diambil oleh syarikat bagi setiap 2 referral pertama bagi setiap ahli. 50% untuk direct referral, 40% untuk indirect referral.

2) Syarikat "menggula-gulakan" sebanyak 750 sms untuk deposit sebanyak RM1000. Pekej yang ditawarkan adalah 750 sms, pada harga RM1000. Anda jangan cerita lagi pasal referral income sebab itu hanyalah "peluang" yang mungkin ada, atau mungkin tiada. Pembeli tidak membeli "peluang", tetapi membeli 750 sms pada harga RM1000. Fuh!

3) Sekiranya syarikat menjawab mereka hanya memperolehi RM100 dari seorang, maka caj SMS itu masih mahal iaitu 13sen/sms.

Jika anda melupakan 750 sms yang digula-gulakan itu, maka HyproBulkSMS adalah satu skim piramid yang sangat tulen. Yang membezakan ia dengan skim piramid adalah kehadiran 750 sms! Tetapi adakah 750 sms itu berbaloi untuk RM1000 yang dikeluarkan? Anda jawablah sendiri, samada ianya benar-benar perniagaan SMS, atau SMS itu hanyalah gimik bagi melindungi kegiatan skim piramid cepat kaya mereka.

Sekali lagi ini bukan tuduhan, tetapi sekadar telahan pendapat yang mungkin boleh difikirkan oleh pihak berwajib. Itupun jika anda buat kerja dan cari maklumat di internet. Setakat ini bantuan kami, selebihnya anda selidiki sendiri.

"Belia Benci Scam"

Login Facebook dapat duit - tahi kucing!

Kami terlepas bas tentang sattu program yang di namakan "login ke Facebook dapat duit". Hahahahahahahaha.... lucunya. Nak berdekah sekali lagi.... hahahahahahahaha.

Lucunya bukan apa, tapi lucu oleh kerana ramainya sahabat sebangsa dan seagama kami boleh jadi "tidak pandai" (kalau cakap bodoh orang marah) dan terus terjun bersama labu mereka ke kancah penipuan ini.

Seorang demi seorang yang tertipu, selepas itu yang tertipu akan turut sama menipu. Tulis status besar-besar di Facebook "AKU DAPAT DUIT SETIAP MINIT". Tanpa rasa bersalah, terus menipu dan menipu tak kira siang atau malam.

Untuk mereka yang kurang pandai, biar kami beri satu pesanan penaja. Jika duit yang kamu dapat tidak jelas sumbernya dari mana, maka duit itu tidak boleh digunakan. Dalam hal ini, dari mana datangnya duit setiap minit itu? Dari ahli baru yang kamu tipu? Maka tak perlu mufti beri hukum, kamu sendiri tahu apa maksudnya.

"Belia Benci Scam"

Syarikat anjur skim piramid berdepan hukuman berat


MELAKA 23 Julai - Syarikat-syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan jualan langsung berbentuk skim piramid berdepan denda RM50 juta apabila Akta Jualan Langsung dan Antipiramid yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, selain denda yang lebih tinggi, lesen perniagaan mereka juga akan ditarik balik.

Kata beliau, bagi individu pula, untuk kesalahan pertama, mereka akan didenda RM5 juta atau lima tahun penjara dan bagi kesalahan kedua didenda RM10 juta atau enam tahun penjara.

"Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang khusus kepada syarikat yang melakukan penipuan dalam perniagaan berbentuk skim piramid apabila mereka sekadar dikenakan hukuman yang tidak setimpal.

"Hukuman di bawah Akta Jualan Langsung 1993 tidak menampakkan keberkesanan kerana tidak memperuntukkan jumlah penalti dan penjara maksimum lebih tinggi bagi semua kesalahan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Pengguna anjuran kementerian dengan kerjasama Puspanita di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Lian Hoe, pihak kementerian akan menggempur 490 syarikat jualan langsung berlesen di seluruh negara yang menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid.

Katanya, tindakan bertujuan memastikan syarikat terbabit tidak melanggar peraturan yang ditetapkan atau diheret ke muka pengadilan.

"Anggota penguat kuasa tidak lagi berpakaian seragam sebaliknya berpakaian biasa bagi mengelak daripada dihidu oleh syarikat jualan langsung," ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2005 hingga 2010, lapan syarikat telah dikenal pasti menjalankan perniagaan berbentuk skim piramid dan melakukan penipuan.

Ujarnya, peruntukan yang diluluskan itu bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid yang kini dilihat semakin berleluasa.


Berita asal di sini.

"Belia Benci Scam"

Wednesday, June 16, 2010

Berita Harian - memudahkan pengendali skim mengarut

Sudah lama kami tidak menulis tentang sebarang aktiviti skim cepat kaya. Hari ini kami ingin membongkar bagaimana portal berita arus perdana di Malaysia, secara tidak sedar (mungkin juga sedar tapi buat-buat tak sedar), telah membantu percambahan skim-skim yang mengarut ini.

Akhbar online banyak bergantung kepada iklan untuk income mereka. Termasuklah Berita Harian. Jadi kami telah memeriksa secara rawak, dalam salah satu article berita mereka, terdapat satu illan berbunyi "BEKERJA SAMBILAN DIRUMAH WAKTU MALAM".

Iklan itu kami click, dan dibawa ke satu laman web beralamat http://taipiklan.webnode.com/

(kepada pemilik laman web ini, kami mohon maaf kerana menggunakan contoh laman web anda, tetapi ini adalah bagi tujuan pendidikan - kami tidak bermaksud hendak bermusuh dengan sesiapa)

Jadi kandungan laman web yang diiklankan itu tidak lain dan tidak bukan adalah meminta pelawat membayar RM50 untuk bekalan informasi tentang bagaimana hendak bermula mendapatkan pendapatan melalui penulisan iklan.

Berdasarkan pengalaman kami, besar kemungkinan maklumat yang ditawarkan ini adalah bagaimana untuk melakukan 'bisnes' seperti mana yang dilakukan oleh pemilik laman web di atas. Caranya mungkin begini:

1. Buat satu laman web menggunakan hosting percuma.
2. Beli satu slot iklan melalui Berita Harian atau akhbar-akhbar lain. Iklankan 'bisnes' itu secara menarik dengan ayat-ayat yang power.

Dengan itu, orang lain pula yang akan membeli maklumat 'bisnes' yang sama, dan langkah ini diulang-ulang oleh mangsa-mangsa yang berlainan.

Jadi sebenarnya tidak ada pun "kerja sambilan dirumah", melainkan hanyalah nama yang tidak secantik rupa. Ini sebenarnya dinamakan "surat berantai" dan skim seperti ini telah lama berjalan sebelum era internet lagi. Dengan adanya internet, surat berantai lebih mudah untuk disebarkan.

Yang jadi mangsa? Bangsaku Melayu yang tak pernah nak ambil tahu.

"Belia Benci Scam"

Tuesday, May 11, 2010

Pelabur kutu rugi RM33j


Empat syarikat tawar skim ‘smart kutu’ disiasat SSM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 pelabur ‘smart kutu’ membabitkan pelaburan bernilai RM33 juta mungkin kerugian apabila empat syarikat yang menawarkan skim itu kini disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana melanggar Akta Larangan Wang Kutu 1971.

Syarikat terbabit termasuk tiga di Kedah dan satu di Johor, yang dikatakan menawarkan skim itu kononnya untuk membantu orang Melayu menjadi kaya, dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini aset satu daripada empat syarikat terbabit juga sudah dibekukan.

“SSM dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum mendakwa empat syarikat itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan majlis dialog amalan perniagaan beretika di sini, semalam.

Beliau enggan mengulas lanjut, tetapi Berita Harian diberitahu skim itu mempunyai dua pelan dengan Pelan A mengkehendaki peserta menghantar kiriman wang pos bernilai RM136 ke syarikat itu yang menawarkan pulangan RM10,800 dalam tempoh setahun.

Pelan B pula menawarkan pulangan RM30,000 dalam tempoh setahun dengan kiriman wang pos bernilai RM330.

Ismail Sabri berkata, akta berkenaan melarang mana-mana pihak mengutip wang dan mengurus transaksi berbentuk kutu.

Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.

Ismail Sabri berkata, kementerian menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikannya dan dianggotai SSM, Bahagian Jenayah Perdagangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk berkongsi maklumat dan menyiasat kes jenayah kolar putih.

Katanya, Jawatankuasa khas yang ditubuhkan hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan kerajaan serius dalam memerangi jenayah kolar putih.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan mengelakkan pertindihan dari segi siasatan kerana sebelum ini semua agensi melakukan siasatan sendiri walaupun kadangkala kes itu membabitkan isu sama.

Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan mencadangkan Kabinet supaya mewajibkan semua ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus asas pengurusan, seperti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan SKM.

“Sekiranya Suruhanjaya Sekuriti dan SKM mewajibkan ahli lembaga pengarah syarikat mengikuti kursus, kita tidak nampak kenapa SSM tidak boleh mewajibkan pengarah syarikat menghadiri kursus,” katanya.


Sumber asal di sini.